Baru-baru ini saya ingin memperbaharui pasport lama yang baru saja tamat tempoh. Lalu saya pergi ke Jabatan Imigresen Malaysia di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Jalan UMS Likas, tempat asal pasport saya ini di buat. Tiba saja di sana pada jam 9 pagi hari bekerja, barisan pengunjung yang menunggu giliran sudah pun begitu panjang. Sistem pendaftaran mereka pula tiba-tiba mengalami masalah, pegawai bertanggungjawab membuat pengumuman kepada pengunjung sama ada ingin menunggu sehingga sistem kembali normal atau boleh ke cawangan mereka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) berhampiran Wisma MUIS dan Menara Petronas.
Kerana memerlukan pasport baru dengan kadar segera, saya lantas bergegas ke lokasi dimaksudkan, bangunan lama yang dulunya dikenali sebagai Menara Khidmat kini telah diubahsuai menjadi sebuah Pusat Transformasi Bandar negeri Sabah.
Selain perkhidmatan dari Jabatan Imigresen Malaysia, bangunan ini juga menempatkan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Pejabat Pos, Sabah Credit, Balai Polis, Telekom Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Air Negeri Sabah, Klinik 1 Malaysia, Kedai Rakyat 1 Malaysia, Kiosk bank CIMB serta restoran. Dan apa menarik perhatian saya, perkhidmatan di agensi-agensi kerajaan ini misalnya di Jabatan Imigresen Malaysia beroperasi dari 8.30 pagi sehingga 10 malam!
"Sambil menyelam, minum air". Bayangkan anda terutama warga Kota Kinabalu yang perlu membayar bil air, bil Telekom serta memperbaharui cukai jalan kereta anda, cuma pergi ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah, dan selesaikan segala keperluan di tempat ini tanpa perlu ke sana ke sini lagi. Cukup selesa dan memudahkan kerja terutama warga kota yang sentiasa sibuk dan kesuntukan masa.
P/S: Cuma cadangan saya sebagai tujuan penambahbaikan, tambahkan lagi ruang parking untuk pengunjung kerana saya melihat potensi lokasi bangunan ini yang akan menjadi tumpuan lebih ramai pengunjung dalam masa terdekat.


No comments :
Post a Comment